28 November 2014

BASIKAL MTB NI BEST RUPANYA



Duk gila basikal pulak dah. Tapi gila ni bermunafaat sihat tubuh badan. Hari-hari berkayuh boleh susut berat badan. Bagus-bagus ini yang kita nak. Takda la berjalan perut yang sampai dulu. kikiki..

Mula berkecimpung sebab terpengaruh dengan rakan tak sebaya. Yang berkayuh bukan muda-muda semuanya, yang dah nak dapat cucu pun ada. Yang muda belia ada tapi tak ramai group kami ni. Kalau dah jenis kaki kayuh basikal berumurpun, boleh tercirit nak kejar. Duk belakang la sampai sudah.

Ingatkan kaki basikal ni biasa-biasa ja modal dia. Harga basikal rm2000 kebawah ni biasa-biasa ja lagi. Yang baik-baik punya barang mesti hampir cecah rm3000 dan ke atas. Tapi yang penting basikal tu boleh naik dan di kayuh. Yang murah pun boleh tapi tenaga kena lebih sikit la. Selalunya yang murah material dia berat dan kurang lancar sikit berbanding yang mahal. Mengikut kata kawan yang dah lama berkayuh, group set gear dan break serta body yang ringan banyak membantu rider dalam menghadapi cabaran berbukit dan memanjangkan jarak kilometer berkayuh. Satu lagi besar saiz tayar, lagi besar lagi luas la langkah. Macam orang kaki panjang berlari tu. Tapi yang jenis badan katik, naik basikal besar jadi kartun la pulak. Ukur poket dan tengok saiz badan nak beli gerek mahal ka besar ka, itu hang punya pasal. Tanya orang berpengalaman kalau tak tahu, takpun godek-godek encik Google berlambak tips berguna boleh dibaca dan diambil kira untuk berkayuh dan tips untuk memilih jentera basikal yang sesuai dengan badan kita banyak yang boleh membantu rider baru dalam memilih basikal sebelum membelinya.

Basikal dah bagus, tapi badan tak sihat pun takleh kayuh jugak. Makan minum kena jaga, kesihatan perlu diambil kira samada layak atau tak layak nak berkayuh. Maklumlah kita kerja macam-macam jenis. Yang jenis guna kudrat lebih, duk berjemur panas pulak hari-hari lepak juga nak kayuh jauh-jauh dan laju-laju, kita kayuh setakat mampu.

Pengalaman saya pulak, mula-mula kayuh memang terasa penat dan lelah. Dah kayuh selalu ni dia jadi lain macam. Jauh mana dan selaju mana kawan kita kayuh, kita boleh ikut rentak dah pelan-pelan walaupun rider baru. Tak la jauh sangat tertinggal pun. Orang lama jangan cerita la, tambah pulak basikal diorang jenis hampir harga motosikal LC(maksudnya mahal-mahal la reganya), laju jek meluncur macam tak reti penat. Hebat-hebat, menyebabkan kita pun termimpi-mimpi nak mtb baru, baru lagi syiok ma.

Berkayuh ni 15 minit pertama memang terasa penat, lepas dah dapat rentak takdak hal dah. Hang kayuh aku kayuh, hampa berhenti sat senang hati aku, boleh minum ayaq..Hahaha...

Berkayuh ni memang boleh berkira letihnya. Kayuh ikut laluan mencabar lagi la cepat kebas dan lenguh kaki serta lutut, tambah-tambah laluan jalan off road dan berbukit. Tapi saya perasan lenguh sekejap ja boleh hilang selepas beberapa minit berhenti dan berehat sebelum memulakan balik kayuhan, ini yang saya rasa orang lain tak tahu la pulak. Tapi ada beberapa rakan berpendapat sama. Maknanya kalau dah teruk cabaran berkayuh, yang lebih tenaga tu ingat la rakan-rakan yang pancit. Bagi mereka masa untuk kumpul tenaga balik sebelum terus berkayuh, jangan berlagak...hihihi.


Apa pun terima kasih kepada rakan-rakan Taman Wawasan Indah mukim Ulu Melaka, Langkawi yang banyak memberi pengalaman menyeronokkan bermula saya menetap disini (2012) sehingga sekarang. Semoga kita semua bersatu hati dan saling memahami dalam masyarakat yang berbagai ragam ini. Kita bersama membina keseronokan dan silaturahim yang lebih utuh untuk hidup sihat dan bermakna. Tu dia rajinnya aku menaip malam ni, maklumlah cuti sekolah..

Wassalam..

#Piala Susuk AFF 2014, Malaysia mintak-mintak jangan la tenggelam awai..





Assalamualaikum.

Hampir 2 tahun tak buka blog sendiri. Dh lupa dah ada blog. Teringat sebab kawan sebut nak bina blog untuk kelab gerek mtb taman kediaman kami.

Sekarang musim cuti sekolah hujung tahun. Bolehlah berehat sekejap dari memikirkan hal prestasi murid-murid tersayang. Result upsr pun dah keluar 26 November 2014 beberapa hari lalu. Tahniah kepada yang berjaya mendapat 5kA dan tahniah kepada semua yang berjaya menyudahkan persekolahan di peringkat sekolah rendah. Yang tidak berjaya, itu rezeki kita.

Pengajaran berguna dan tingkatkan usaha berganda pada masa akan datang di peringkat sekolah menengah nanti. Kawan saya dulu tak dapat street A pun, sekarang dah jadi lowyer, jadi cikgu, pegawai polis dan bisnesman berjaya dah. Yang penting sekolah rajin-rajin jangan sekerat jalan sudah. Rezeki kita Allah tentukan, tapi kita yang kena usaha dan berazam untuk berjaya. Orang lain hanya sebagai pendorong dan membantu memudahkan langkah kita sahaja. Nak seribu daya, taknak sudah. Sapa yang rugi, fikirlah sendiri.

Buatlah baik pada sesiapa sahaja, jangan memilih orang. Kerana Allah menjanjikan kebaikan kepada mereka yang ikhlas melakukan amal baik keranaNya..

Yang penting puak kita jangan terus terlalai dengan keseronokan dunia semata-mata.

Wassalam. Take care...





31 Disember 2012

PENDAFTARAN TAHUN SATU UNTUK SESI PERSEKOLAHAN 2013

-pendaftaran murid tahun satu oleh ibu bapa.
-sesi suai kenal dan penempatan di dalam kelas.
- taklimat untuk ibu bapa.

MESYUARAT GURU KALI PERTAMA SESI 2013

Talimat perbentangan pencapaian tahun 2012 dan perancangan tahun 2013,

11 Februari 2012

SIAPAKAH MANUSIA YANG LEBIH HINA DARI BINATANG TERNAKAN


LEMBU SESAT DI BANDAR..

Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk isi neraka Jahannam kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakan untuk memahami [ayat-ayat Allah] dan mereka mempunyai mata [tetapi] tidak dipergunakan untuk melihat [tanda-tanda kekuasaan Allah] dan mereka mempunyai telinga [tetapi] tidak dipergunakan untuk mendengar [ayat-ayat Allah]. Mereka itu seperti binatang ternakan, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai." ~ Al-A'raaf : 179.

Allah SWT dalam ayat ini menghuraikan tentang perkara yang menyebabkan terjerumusnya manusia ke dalam kesesatan. Allah menjelaskan ramai manusia menjadi isi neraka Jahannam, begitu juga mereka yang masuk syurga sesuai dengan amalan masing-masing.

Firman Allah:

"Maka di antara mereka ada yang celaka dan ada yang berbahagia." [Hud : 105]

Firman Allah lagi :

"Segolongan masuk syurga dan segolongan masuk neraka." [Asy-Syura : 7]

Kebanyakan manusia itu diazab di neraka Jahannam disebabkan akal dan perasaan mereka tidak digunakan untuk memahami keesaan dan kebesaran Allah SWT sedangkan kepercayaan itulah yang akan membersihkan jiwa mereka dari segala macam was-was dan kehinaan serta kerendahan. Kepercayaan inilah yang akan menanam keyakinan kepada diri mereka sendiri, dan menjadi benchmark kepada keutuhan peribadi dan sahsiah.

Kita juga melihat sekalian manusia yang mengaku beriman, tetapi sebenarnya lalai dan lupa dengan kepercayaan sepenuhnya pada hari Akhirat. Mereka hanya menggunakan akal untuk menanam saham dunia tanpa sedikit pun membaja benih akhirat dalam setiap perbuatan dan pekerjaan.

"Mereka hanya mengetahui yang zahir [saja] dari kehidupan dunia, sedang tentang [kehidupan] akhirat adalah lalai." [Ar Rum : 7]

Mereka tidak memahami bahawa tujuan hidup sebenar manusia adalah untuk beribadah kepada-Nya dan melaburkan saham Akhirat sebanyak mungkin sebagai persediaan. Mereka tidak mengetahui bahawa tujuan Allah memerintahkan mereka menjauhi kemaksiatan dan dosa serta mendorong melakukan amal adalah untuk dua kebahagiaan - dunia dan akhirat. Mereka membutakan hati dan mata, memekakkan telinga dengan segala macam kebaikan dan petunjuk yang datang kepada mereka.

Firman Allah :

"Dan Kami telah memberikan kepada mereka pendengaran, penglihatan dan hati tetapi pendengaran, penglihatan dan hati mereka itu tidak berguna sedikit jua pun bagi mereka kerana mereka selalu mengingkari ayat-ayat Allah dan mereka telah diliputi oleh keseksaan, yang dahulu mereka sering memperolok-olokkannya." [Al-Ahqaf : 26]

Mereka tidak dapat memanfaatkan mata, telinga dan akal sehingga mensia-siakan hidayah Allah. Keadaan mereka seperti binatang bahkan lebih buruk daripada binatang, kerana binatang tidak mempunyai akal dan upaya fikir untuk mengolah kesan penglihatan dan pendengaran mereka. Binatang hanya mewujudkan persepsi atau reaksi terhadap dunia luar secara naluri dan bertujuan hanyalah untuk meneruskan hidup [survival]. Betapa hinanya manusia yang menjadi seperti binatang ini dan menjadi hamba kepada hawa nafsu, malah mereka lebih rendah nilai kerana tidak mampu menggunakan kelebihan akal dan hati.

Kita memohon kepada Allah, agar dijauhkan daripada segala ciri-ciri ini, dan menarafkan diri sebagai Khalifah di atas muka bumi. Sekalian umat Islam perlu memiliki kekuatan untuk mengubah persepsi yang mengambil ringan tuntutan "Amar Makruf Nahi Mungkar", sehingga berleluasanya kemaksiatan dan kecelaruan nilai dalam kehidupan bermasyarakat. 

SETIAP YANG HIDUP AKAN MATI

Adakah kita sudah bersedia?




Ini adalah tanda pertama dari Allah SWT
kepada hambanya dan hanya
akan disedari oleh mereka yang
dikehendakinya. Walaubagaimanapun 
semua orang Islam akan mendapat tanda
ini cuma samada mereka sedar
atau tidak sahaja. Tanda ini akan
berlaku lazimnya selepas waktu Asar.


Seluruh tubuh iaitu dari hujung rambut
sehingga ke hujung kaki akan 
mengalami getaran atau seakan-akan
mengigil. Contohnya seperti daging
lembu yang baru saja disembelih dimana
jika diperhatikan dengan
teliti kita akan mendapati daging
tersebut seakan-akan bergetar.
Tanda ini rasanya lazat dan bagi mereka
yang sedar dan berdetik di
hati bahawa mungkin ini adalah tanda
mati maka getaran ini akan
berhenti dan hilang setelah kita sedar
akan kehadiran tanda ini.
Bagi mereka yang tidak diberi kesedaran 
atau mereka yang hanyut
dengan kenikmatan tanpa memikirkan soal
kematian, tanda ini akan
lenyap begitu sahaja tanpa sebarang
munafaat.
Bagi yang sedar dengan kehadiran tanda
ini maka ini adalah peluang 
terbaik untuk memunafaatkan masa yang
ada untuk mempersiapkan diri
dengan amalan dan urusan yang akan
dibawa atau ditinggalkan sesudah
mati.

TANDA 40 HARI
Tanda ini juga akan berlaku sesudah 
waktu Asar. Bahagian pusat kita
akan berdenyut-denyut. Pada ketika ini
daun yang tertulis nama kita
akan gugur dari pokok yang letaknya di
atas Arash Allah SWT.
Maka Malaikat Maut akan mengambil daun
tersebut dan mula membuat
persediaannya ke atas kita, antaranya
ialah ia akan mula mengikuti
kita sepanjang masa. Akan terjadi
Malaikat Maut ini akan
memperlihatkan wajahnya sekilas lalu dan
jika ini terjadi, mereka 
yang terpilih ini akan merasakan
seakan-akan bingung seketika.
Adapun Malaikat Maut ini wujudnya cuma
seorang tetapi kuasanya untuk
mencabut nyawa adalah bersamaan dengan
jumlah nyawa yang akan
dicabutnya.

TANDA 7 HARI
Adapun tanda ini akan diberikan hanya
kepada mereka yang diuji dengan 
musibah kesakitan di mana orang sakit
yang tidak makan secara
tiba-tiba ianya berselera untuk makan.

TANDA 3 HARI
Pada ketika ini akan terasa denyutan di
bahagian tengah dahi kita 
iaitu diantara dahi kanan dan kiri. Jika
tanda ini dapat dikesan maka
berpuasalah kita selepas itu supaya
perut kita tidak mengandungi
banyak najis dan ini akan memudahkan
urusan orang yang akan
memandikan kita nanti. 

Ketika ini juga mata hitam kita tidak
akan bersinar lagi dan bagi
orang yang sakit hidungnya akan
perlahan-lahan jatuh dan ini dapat
dikesan jika kita melihatnya dari
bahagian sisi. Telinganya akan layu 
dimana bahagian hujungnya akan
beransur-ansur masuk ke dalam.
Telapak kakinya yang terlunjur akan
perlahan-lahan jatuh ke depan dan
sukar ditegakkan.

TANDA 1 HARI
Akan berlaku sesudah waktu Asar di mana
kita akan merasakan satu
denyutan di sebelah belakang iaitu di
kawasan ubun-ubun di mana ini
menandakan kita tidak akan sempat untuk
menemui waktu Asar keesokan
harinya. 

TANDA AKHIR
Akan berlaku keadaan di mana kita akan
merasakan satu keadaan sejuk
di bahagian pusat dan ianya akan turun
ke pinggang dan seterusnya
akan naik ke bahagian halkum. 
Ketika ini hendaklah kita terus mengucap
kalimah syahadah dan berdiam
diri dan menantikan kedatangan
malaikatmaut untuk menjemput kita
kembali kepada Allah SWT yang telah
menghidupkan kita dan sekarang
akan mematikan pula.

Sesungguhnya mengingati mati itu adalah bijak.
Saling berpesan2lah sesama kita.....


by UTP

MENYAMBUT KELAHIRAN ANAK



Gambar hiasan, tak tau anak sapa dia




Objektif :

Kaedah ini bertujuan memberitahu kepada suami akan beratnya kesakitan yang dihadapi oleh isteri ketika hendak melahirkan anak dan menuntut suami supaya sentiasa berada disamping isterinya agar beban kesakitan dapat dikurangkan.

Kaedah ini juga bagi membimbing suami supaya dapat menyambut kelahiran anak mengikut cara yang digarispandukan oleh Islam.


Aktiviti :

1. Suami Berada Di Samping Isteri Ketika Saat-Saat Isteri Hendak Bersalin. 
Alangkah gelisah dan kritikalnya saat-saat akan melahirkan anak lebih-lebih lagi bagi ibu yang pertama kalinya akan melahirkan anak. Suami perlu memberikan motivasi kepada isteri agar tetap tabah dan sabar, di samping suami harus banyak berdoa kepada Allah serta banyak beristighfar dan berselawat disamping membanyakkan bacaan surah Al-Insyiqa' dan surah Al-Hasyr.

Firman Allah Taal dalam surah Luqman ayat 14 :

Maksudnya : "Dan Kami wajibkan menusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga ke akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).


2. Azan Di Telinga Kanan Dan Iqamah Di Telinga Kiri.
Suami hendaklah segera mengazankan di telinga kanan anak yang baru lahir dan diiqamahkan di telinga kiri dengan tujuan supaya dijauhi anaknya dari gangguan syaitan dan supaya kalimah pertama yang dapat didengar oleh bayi ialah kalimah Allah. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan dari Rafi' r.a. Rasulullah bersabda :

Maksudnya : "Aku melihat sendiri Rasulullah s.a.w. mengazankan Al-Hassan bin Ali pada telinganya ketika itu ia baru dilahirkan oleh Fatimah r.a."

Riwayat Abu Daud dan Tirmizi


3. Membaca Surah Al-Qadar dan Surah Al-Ikhlas.
Suami hendaklah juga membanyakkan bacaan surah Al-Qadar di telinga kanan dan surah Al-Ikhlas di telinga kiri bagi tujuan memohon kepada Allah supaya anak yang dilahirkan terselamat dari melakukan perzinaan dan memohon juga supaya dikuatkan iman, jauh dari menyeleweng fahaman akidahnya dari landasan Ahlus Sunnah Wal Jamaah.


4. Membaca Surah Al-Insyirah Di Jari Manis Dan Ditahnikkan.
Suami juga hendaklah membaca surah Al-Insyirah di jari manis kemudian mencelupkan jari manis ke dalam manisan (madu) dan ditekankan (ditahnikkan) di langit-langit bayi tersebut dengan membaca ayat 36, surah Ali-Imran :

Maksudnya : "Maka apabila ia melahirkannya, berkatalah ia: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku telah melahirkan seorang anak perempuan (sedang yang aku harap-harapkan ialah anak lelaki), - dan Allah memang mengetahui akan apa yang dilahirkannya itu - dan memanglah tidak sama anak lelaki dengan anak perempuan dan bahawasanya aku telah menamakannya Maryam, dan aku melindungi dia dengan peliharaanMu, demikian juga zuriat keturunannya, dari godaan syaitan yang kena rejam (yang dikutuk dan disingkirkan)".

Tahnik adalah bertujuan untuk memohon kepada Allah S.W.T. supaya anak yang dilahirkan mempunyai lidah yang fasih dan terkawal lidahnya dari menyebut perkara-perkara yang tidak berfaedah dan mendatangkan maksiat walaupun perkara ini boleh dilakukan oleh orang yang soleh namun bapa kepada anak tersebut lebih utama melakukan tahnik untuk anaknya kerana hadis riwayat oleh Tirmizi menyebutkan salah satu doa yang paling mustajab ialah doa ibu bapa untuk anaknya".


5. Melaksanakan Tuntutan Sempena Hari Ketujuh.
Memberikan nama yang baik.

Bapa dikehendaki menamakan anaknya dengan nama-nama yang baik pada hari ketujuh kerana nama itu sendiri adalah merupakan doa kepada anaknya.

Rasulullah s.a.w. bersabda :

Maksudnya : "Sesungguhnya kamu akan diseru pada hari kiamat dengan nama-nama kamu dan nama-nama bapa kamu, maka indahkanlah nama kamu".

Riwayat Abu Daud

Membaca Doa ketika memberikan nama anak.

Maksudnya : "Ya Allah wahai Tuhan kami, jadikanlah nama yang diberikan ini memberi keberkatan kepadanya, pandukan segala usahanya ke arah keredhaanMu, jadikan menuntut ilmu sebagai matlamatnya dan akhirkan hidupnya dengan amal-amal soleh. Ya Allah wahai tuhan kami, lanjutkanlah usianya dalam ketaatan kepadaMu dan kepada RasulMu dan jadikan tubuh badannya dalam keadaan sihat walafiat. Ya Allah, jadikan ia pemimpin di waktu dewasa, teguhkan imannya sepertimana iman para nabiMu sehingga hari kiamat. Ya Allah kurniakan ia rezeki yang halal dan berkat, dekatkanlah ia dengan kebaikan dan jauhkan ia daripada kejahatan dengan rahmatMu Ya Allah yang Maha Pengasih.

Mengaqiqahkan anak.

Bapa hendaklah mengaqiqahkan anaknya kerana hukumnya adalah sunat mu'akad iaitu dengan mengadakna kenduri kesyukuran. Menyembelih 2 ekor kambing bagi anak lelaki dan seekor kambing bagi anak perempuan. Sebaik-baiknya dilakukan pada hari ketujuh.

Rasulullah s.a.w. bersabda :

Maksudnya : "Setiap anak yang dilahirkan tergadai dengan aqiqahnya yang disembelih pada hari ke tujuh kelahirannya, diberikan nama dan dicukur rambutnya".

Riwayat abu Daud

Ketika menyembelih aqiqah disuruh juga menyebut nama anak.

Maksudnya : "Dengan nama Allah, Ya Allah untukMu dan bagiMu akikah ini dari ……(sebut nama anak)….

Gesaan Aqiqah : 

Rasulullah s.a.w. bersabda :

Maksudnya : "Kerkakanlah aqiqah bagi anak lelaki yang baru lahir, kerana itu hendaklah kamu menyembelih aqiqah dan jauhkanlah gangguan dari anak itu".

Muttafaqun A'laih

Antara hikmah aqiqah adalah :

Membiiasakan berkorban bagi orang tua demi kepentingan bayi yang baru lahir di dunia.

Melindungi diri dari gangguan syaitan.

Bercukur rambut. 

Adalah menjadi tanggungjawab bapa untuk mencukur rambut anaknya pada hari ke tujuh (dibotakkan) sama ada dilakukan olehnya sendiri atau orang lain.

Antara hikmah bercukur rambut adalah :

Hikmah kesihatan.

Dengan membuang, mencukur rambut anak yang baru lahir akan terbuka semua lubang rambutnya yang mungkin akan mengukuhkan pancaindera penglihatan, pernafasan dan pendengaran.

Hikmah kemasyarakatan.

Dapat bersedekah dengan emas atau perak seberat timbangan rambutnya. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan dari Anas bin Malik r.s. ia berkata :

Maksudnya : "Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah menyuruh supaya mencukur rambut cucunya Saidina Hassan dan Hussin r.a. pada hari ketujuh dan disedekahkan berat timbangan rambutnya dengan nilai perak".

Riwayat At-Tirmizi dan Abu Daud

Khurafat yang perlu ditinggalkan.

Mencukur bahagian-bahagian tertentu daripada kepala sebagaimana yang banyak dilakukan sekarang, kerana ini termasuk dalam perkara yang dilarang keras oleh Rasulullah s.a.w. sebagaimana maksud hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim.

Menggunakan buah kelapa dan segala macam campuran seperti garam dan bunga kerana amalan ini diambil dari budaya Hindu. Rasulullah bersabda :

Maksudnya : "Barangsiapa yang menyerupai (meniru apa sahaja perkara-perkara yang bertentangan dengan syariat Islam) dengan sesuatu kaum (yang bukan Islam) maka ia tergolong daripada mereka".

Mengkhatankan anak.

Bapa bertanggungjawab untuk mengkhatankan anak lelakinya. Dalam sebuah hadis disebutkan :

Maksudnya : "Berkhatan itu sunat bagi lelaki, mulia bagi wanita". 

Riwayat Abu Daud

Walaupun demikian, amalan masyarakat kita mengkhatankan anak pada umur sebelas tahun atau dua belas tahun tidaklah menyalahi syarak. Adalah menjadi suatu yang baik sekiranya anak-anak sebelum dikhatankan terlebih dahulu diaturkan majlis khatam Al-Quran untuknya.

Antara faedah berkhatan adalah :

Melindungi daripada berbagai-bagai penyakit.

Membersihkan diri dari kekotoran.


6. Menyusukan Anak.
Demi kesihatan anak, ibu hendaklah menyusukan anak dengan susu ibu. 

Firman allah Taala dalam surah Al-Bawarah ayat 233:

Maksudnya : "Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu".

Imam As-Syafie berkata

"Sihat atau tidak anak itu adalah bergantung sama ada anak disusui oleh susu ibu atau tidak walaupun sekali susuan".

Kelebihan menyusukan anak :

Setiap tegukan dari susu ibu, Allah S.W.T. memberi pahala satu kebaikan.

Bila ibunya semalaman tidak dapat tidur kerana menjaga anaknya yang sakit, maka Allah S.W.T. memberi pahala seperti memerdekakan 70 hamba ke jalan Allah.